YDP PAS Wangsa Maju seru ahli hayati mesej muktamar

Oleh WAN SYAHIRAH

WANGSA MAJU, 6 Nov: “Muktamar kali sangat penting untuk dihayati oleh semua ahli sebagai pasak perjuangan, selain menerima arahan langsung daripada Presiden dalam menghadapi PRU 15.”

Demikian kata Yang diPertua PAS Kawasan Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud ketika dihubungi untuk mengulas berkenaan Muktamar PAS Pusat kali ke-67.

“Seruan Tuan Guru Presiden ke arah penyatuan ummah bermasyarakat majmuk mesti dibuktikan di Wangsa Maju. Dengan bersatunya pelbagai latar belakang politik, NGO, komuniti perumahan, masjid dan surau pasti memberi impak yang harmoni dan sejahtera termasuk untuk bukan Melayu.

“Kita berikan bantuan kebajikan tanpa mengira kaum dan pada masa yang sama, kita jelaskan kebaikan perpaduan di bawah payung kerajaan Islam,” jelasnya.

Berkaitan pendirian PAS sebagai pendamai antara MN dan PN, beliau berpandangan bahawa kita mesti bersama dalam lapangan kerja kebajikan dan kemaslahatan rakyat.

Namun dalam urusan politik khususnya berkenaan pilihanraya, beliau menyeru semua ahli agar menyerahkannya kepada kebijaksanaan pimpinan agar rakyat mendapat manfaat dan lebih dekat dengan PAS.

“PAS Wangsa Maju sambut baik tawaran PAS kepada rakyat yang diumumkan Tuan Guru Presiden tadi berkaitan integriti dan berkebajikan yang sudah lama menjadi imej kepada PAS.

“Alhamdulillah kita dapat lihat di Wilayah sendiri, wakil-wakil PAS dalam Majlis Perwakilan Penduduk misalnya telah memberi khidmat cemerlang dengan penuh integriti dan kita mengharapkan peranan yang lebih besar dimainkan oleh mereka pada sesi akan datang,” ujar beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Wangsa Maju.

Beliau turut mengharapkan semua ahli PAS khusus di Wangsa Maju dan Wilayah Persekutuan agar meletakkan kesediaan untuk memimpin.

“Serulah kenalan dan ahli keluarga kita agar memahami dan beralih kepada politik berteraskan dosa dan pahala serta pada masa yang sama, kita sama-samalah menjalankan kerja-kerja parti sehabis baik,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *