Salam Ramadhan 2021

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah mempertemukan semula kita dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini.

Saya mengambil kesempatan sempena kedatangan Ramadhan 1442 Hijrah mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua warga Wangsa Maju yang beragama Islam.

Sempena bulan penuh yang penuh keberkatan ini , saya menyeru semua umat Islam agar memanfaatkan setiap detik dan hari dalam bulan yang mulia ini dengan amalan-amalan bermanfaat, penuh keinsafan dan keikhlasan bagi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Justeru, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, mengambil iktibar di atas semua peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan tahun lepas agar Ramadhan yang bakal dilalui tahun ini lebih bermakna bagi diri kita sebagai umat Islam.

Di kesempatan ini juga, saya menyeru supaya kita semua mengambil peluang menguatkan lagi semangat “permuafakatan” di Wangsa Maju dan jadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan dan meningkatkan amalan seharian.

Sesungguhnya Ramadhan ialah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran besar buat sesiapa yang memburunya. Perkara paling penting dalam menyambut Ramadhan ialah taqwa kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (al-Baqarah:183)

Akhir kata, marilah, kita bersama-sama memanfaatkan sepenuhnya fadilat yang ada di bulan ini agar ianya dijadikan amalan berterusan. Semoga segala amalan dan usaha kita akan diterima dan dikurniakan ganjaran sewajarnya daripada Allah SWT.

Saya mendoakan agar kita semua diberi kekuatan untuk meningkatkan ilmu, amal dan taqwa di bulan Ramadhan ini.

Sekian,

Ustaz Abdul Rani Bin Mohamed Daud
Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju
Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk WP Zon Wangsa Maju

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *