ISLAM ADALAH SATU-SATUNYA AGAMA YANG BENAR DI SISI ALLAH

Sekarang, semua orang pun mahu jadi ustaz/ ustazah di Tik Tok.

Boleh bebas memberikan pandangan mengenai agama, tidak perlu apa-apa tauliah atau kelayakan.

Apa-apa jenis pandangan pun boleh dikongsikan atas nama kebebasan bersuara.

Apabila ada yang memberi pendapat bahawa tidak perlu mengajak orang memeluk agama Islam kerana ia akan mendatangkan rasa kurang senang kepada penganut agama lain, ianya seolah-olah menimbulkan satu anggapan bahawa semua agama itu sama.

Adakah benar begitu pandangan Islam?

Bolehkah seorang Muslim atau Muslimah menganggap agama Islam tiada keistimewaannya berbanding agama-agama lain sehingga soal ibadat kepada tuhan mana pun sama sahaja?

Al-Imam Ibn Katsir RH meriwayatkan bahawa orang-orang kafir Quraisy pernah mengajak Rasulullah S.A.W untuk menyembah berhala-berhala mereka selama satu tahun, lalu mereka akan menyembah Allah selama satu tahun. Maka, Allah SWT menurunkan Surah al-Kafirun. (Rujuk Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (8/507)).

Menurut riwayat yang lain, beberapa orang kaum musyrikin termasuk Al-Walid bin Mughirah dan Al-‘Ash bin Wail, Al-Aswad bin al- Muthallib dan Umayyah bin Khalaf datang menemui Rasulullah SAW lalu menawarkan harta, pangkat dan wanita kepada baginda dengan syarat baginda tidak mengecam berhala-berhala sembahan mereka.

Namun Nabi S.A.W menolak semua tawaran tersebut, lalu mereka menawarkan pula, “Bagaimana jika engkau menyembah tuhan-tuhan kami sehari, dan kami menyembah Tuhanmu sehari (secara bergilir-gilir)?”

Baginda SAW tidak mahu menjawab tawaran tersebut sehinggalah Allah SWT menurunkan wahyu. Lalu turunlah surah al-Kafirun, ayat 1-6:

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِیمِ
قُلۡ یَـٰۤأَیُّهَا ٱلۡكَـٰفِرُونَ لَاۤ أَعۡبُدُ مَا تَعۡبُدُونَ وَلَاۤ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَاۤ أَعۡبُدُ وَلَاۤ أَنَا۠ عَابِدࣱ مَّا عَبَدتُّمۡ وَلَاۤ أَنتُمۡ عَـٰبِدُونَ مَاۤ أَعۡبُدُ لَكُمۡ دِینُكُمۡ وَلِیَ دِینِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku”.

Al-Imam al-Bukhari R.H. telah berkata tentang ayat akhir surah ini bahawa:

لَكُمْ دِينَكُمْ
bermakna kufur
وَلِيَ دِينِ
bermakna Islam

Hal ini jelas menunjukkan bahawa hanya Islam sahaja dikira sebagai “Din” untuk seorang Muslim yang bersyahadah.

Tiada kompromi dalam soal akidah dan peribadatan (‘ububiyyah) kepada Tuhan yang sebenar.

Bagi seorang Muslim yang benar imannya hanya perlu berpegang teguh dengan firman Allah S.W.T dalam satu ayat yang lain:

إِنَّ ٱلدِّینَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلۡإِسۡلَـٰمُۗ وَمَا ٱخۡتَلَفَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعۡدِ مَا جَاۤءَهُمُ ٱلۡعِلۡمُ بَغۡیَۢا بَیۡنَهُمۡۗ وَمَن یَكۡفُرۡ بِـَٔایَـٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِیعُ ٱلۡحِسَابِ

Maksudnya:
“Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya;
semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.”
(Surah Ali Imran 19)

Menyeru orang kepada Islam adalah kewajipan kerana Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diterima di sisi Allah S.W.T.

Marilah kita belajar dan beramal dengan hukum-hakam Islam sebelum mengeluarkan apa-apa pendapat yang tidak bersandarkan Quran dan Sunnah, seterusnya boleh mengelirukan masyarakat Islam.

Jemput sertai channel telegram Marzuk Shaary https://t.me/marzukshaary untuk mengikuti perkongsian-perkongsian yang terkini.

YB Datuk Ahmad Marzuk Shaary
27 Ogos 2021/ 18 Muharram 1443 H

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *