10 Khasiat Bawang Putih Kepada Kesihatan

Bawang putih telah menjadi satu bahan utama dalam kebanyakan masakan di Malaysia dan juga di seluruh dunia. Bawang putih terkenal dengan khasiatnya yang bagus untuk kesihatan. Bawang putih mempunyai daun yang panjang dan bebawang yang berada dalam tanah. Ia terbentuk dari beberapa ulas bebawang yang membentuk sebiji bawang. Artikel ini menjelaskan 10 khasiat bawang putih kepada kesihatan.

1. Mengandungi komponen yang bersifat perubatan

Bawang putih telah digunakan secara meluas dalam masakan kerana bau dan rasanya yang kuat. Pada zaman dahulu, kegunaan utama bawang putih adalah bagi tujuan perubatan dan kesihatan. Para saintis telah mendapati bahawa khasiat bawang putih datangnya daripada komponen sulfur yang terbentuk sewaktu memotong atau mengunyah bawang putih. Selain itu, bawang putih mengandungi allicin. Allicin merupakan satu komponen yang kurang stabil dan hanya akan mencul apabila bawang putih dipotong atau dihancurkan. Allicin dapat mengawal tekanan darah dan juga mencegah penyakit kardiovaskular.

2. Mengurangkan Simptom Selsema

Bawang putih dapat meningkatkan sistem imun. Satu kajian besar dijalankan selama 12 minggu mendapati bahawa suplemen bawang putih dapat mengurangkan masalah selsema sebanyak 63% berbanding dengan placebo. Selain itu, ada satu kajian mendapati bahawa dos ekstrak bawang putih yang tinggi (2.56 gram sehari) dapat mengurangkan jumlah hari selsema sebanyak 61%.

3. Mengawal tekanan darah tinggi

Penyakit kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung merupakan pembunuh dalam diam di seluruh negara.

Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan salah satu faktor utama menyumbang kepada penyakit ini. Kajian terhadap manusia mendapati bahawa bawang putih mengandungi komponen yang dapat mengawal tekanan darah bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi.

4. Mengawal paras kolesterol

Selain mengawal tekanan darah, bawang putih juga berperanan dalam mengawal paras kolesterol dalam darah. Dengan ini, risiko penyakit jantung dapat dicegah. Bagi mereka yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi, suplemen bawang putih dapat mengurangkan 10-15% kadar kolesterol jahat. Namun, bawang putih tidak memberi kesan kepada paras kolesterol baik (HDL) dan juga trigeliserida.

5. Mengandungi antioksida yang membantu mencegah penyakit Alzheimer dan demensia

Radikal bebas akan menyebabkan kerosakkan oksidatif dan seterusnya akan menyumbang kepada proses penuaan. Bawang putih mengandungi antioksidan yang dapat melindungi badan daripada kerosakan oksidatif tersebut. Kesan daripada gabungan pengurangan kolesterol dan tekanan darah, serta sifat antioksidan yang terdapat pada bawang putih dapat mengurangkan risiko penyakit yang berkaitan dengan saraf otak seperti Alzheimer dan demensia.

6. Mencegah kanser

Satu kajian yang dijalankan oleh Jiangsu Provincial Center for Disease Control and Prevention di China mendapati bahawa individu yang makan bawang putih mentah sekurang-kurangnya dua kali seminggu sepanjang tujuh tahun dapat mengurangkan sebanyak 44% risiko kanser paru-paru.

Selain itu, komponen organo-sulfur yang terdapat dalam bawang putih berkesan untuk menghapuskan sel yang berkaitan dengan barah otak.

7. Kesihatan rambut dan kulit kepala

Bawang putih dapat membantu pertumbuhan rambut. Ia mengandungi kandungan vitamin dan mineral yang tinggi seperti vitamin B6 dan C, manganese dan selenium. Kesemua vitamin dan mineral ini berperanan bagi mengekalkan kesihatan rambut.

Tambahan pula, sifat antibakteria dan antifungas yang terdapat dalam bawang putih juga menyumbang kepada kesihatan rambut kerana sifat-sifat ini membantu untuk membunuh kuman dan menjadikan kulit kepala lebih sihat.

8. Merawat jerawat

Jerawat merupakan masalah kulit yang disebabkan oleh pelbagai jenis benjolan yang terbentuk di permukaan kulit. Bawang putih mempunyai sifat anti-bakteria dan anti-septik daripada allicin. Allicin membantu untuk membunuh bakteria yang menyebabkan masalah jerawat. Ia juga dapat mengurangkan keradangan dan memperbaiki peredaran darah. Kesemua khasiat ini dapat memberi ruang kepada kulit untuk menerima lebih banyak nutrien seterusnya mengurangkan risiko masalah jerawat.

9. Mengurangkan Risiko Keradangan Sendi

Atritis merupakan penyakit yang disebabkan sakit dan bengkak pada sendi. Ia boleh terjadi pada semua peringkat umur, jantina dan latar belakang etnik.

Sifat anti-radang dalam bawang putih dapat mengurangkan simptom atritis. Dalam satu kajian tabung uji mendapati bahawa terdapat komponen spesifik dalam bawang putih yang dapat mengurangkan keradangan yang berkaitan dengan atritis.

10. Mengawal paras gula

Selain membantu untuk mengawal tekanan darah dan paras kolesterol, bawang putih juga terbukti dalam beberapa kajian dapat mengawal paras gula dalam darah, khususnya bagi pesakit kencing manis. Bawang putih merupakan sumber vitamin B6 dan C. Vitamin B6 terlibat dalam proses metabolisma karbohidrat manakala vitamin C pula berperanan bagi mengekalkan paras gula dalam darah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *